Sunday, 6 November 2016

Ciri-ciri Utama Untuk Menjadi Seorang Usahawan

Ciri-Ciri Usahawan Berjaya

Untuk menjadi seseorang usahawan yang berjaya, mereka perlulah mempunyai sifat-sifat yang tidak ada pada individu biasa. Dalam berdepan persaingan ekonomi yang menekan sekarang, usahawan perlulah mempunyai ciri-ciri yang dapat mengekalkan mereka sebagai usahawan yang Berjaya di Malaysia malahan di peringkat global. Berikut adalah ciri-ciri yang terdapat pada usahawan berjaya pada masa sekarang.
1.    Rangkaian (networked)

Rangkaian adalah taktik pemasaran tunggal yang paling berkuasa untuk mempercepatkan dan mengekalkan kejayaan mana-mana individu atau organisasi. Rangkaian merupakan perhubungan yang dibina untuk berkekalan dan saling menguntungkan. Rangkaian atau jaringan juga bermaksud, jaringan perniagaan (Larson, 1992; Baker, 1994; Holmlund & Tornroos, 1997) atau dikenali juga sebagai jaringan formal (Dollinger, 1995) atau 'extended network' (Aldrich,et al., 1989) merupakan hubungan yang pada amnya berasaskan aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan
Sebagai contoh usahawan yang berjaya dalam rangkaian ialah pengasas Facebook iaitu Mark Zuckerberg. Beliau dilahirkan pada 1984 di New York.beliau hanya seorang pelajar di Harvard university. Ia  digunakan oleh kalangan pelajar Harvard untuk berinteraksi antara satu sama lain. Selepas itu, beliau mula menyebarkan Facebook ke universiti lain seperti Stanford, Dartmouth, Columbia, Cornell dan Yale. Akhirnya, Facebook telah dibuka kepada orang ramai sehingga kini. Selepas 3 tahun berlalu, Mark Zuckerberg ditabalkan menjadi jutawan termuda atau "world youngest self-made billionaire" oleh Majalah Forbes dengan anggaran harta bernilai USD$1.5 billion. Ini menunjukkan Mark Zuckerberg hanya menggunakan jenis rangkaian tidak formal kerana Mark Zuckerberg pada awalnya memulakan laman web Facebook itu dikalangan pelajar universiti beliau sahaja.

2.    Objektif yang Diorientasikan (Outcome Oriented)

Objektif merupakan perkataan yang sinonim dengan matlamat. Definisi objektif ialah sasaran atau sesuatu yang hendak dicapai dan lebih tepat ialah tujuan sesebuah perniagaan ditubuhkan. Objektif merupakan hasil daripada kita mengenal kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang yang ada. Setiap orang pasti mempunyai objektif ataupun matlamat tersendiri, tetapi ramai yang matlamat hanya tinggal matlamat akibat tidak disertai dengan perancangan dan tindakan yang betul. Sebagai contoh, objektif seorang usahawan ialah untuk mencapai keuntungan yang maksimum dan dapat meneruskan perniagaan sehingga ke penghujung (Zul press, 2012).
Contoh usahawan ialah pengasas D’herb, Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman. Beliau dilahirkan pada 3 April 1987 di Kuala Lipis, Pahang. Pada mulanya beliau beroperasi di lot kedai di tingkat 2 dengan seorang pekerja sahaja. Kemudiannya mereka mengorak langkah maju setapak ke hadapan dengan menghasilkan hampir 30 rangkaian produk baru dengan seramai 15 orang kakitangan. Kini D’herb telah menjadi satu jenama yang semakin mandapat tempat di hati masyarakat. Antara objektif syarikat D’herb ialah dapat membantu masyarakat merawat wajah luaran dan dalaman, memberikan perkhidmatan selepas jualan, mempunyai konsep kedai yang kemas, menarik, bersih dan ceria dan seterusnya membesar menjadi sebuah syarikat sendirian berhad (Aniz, 2013).

3.    Proaktif (Proactive)

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, proaktif membawa maksud bersikap positif oleh individu, institusi dan lain lain dalam merangka atau menjalankan sesuatu tindakan setelah mengambil kira dan berfikiran jauh tentang sesuatu perkara yang memerlukan tindakan. Usahawan yang proaktif akan sentiasa mencari idea dan konsep yang baru untuk meningkatkan lagi mutu produk mereka. Sikap proaktif ini boleh dipupuk melalui kerajinan, keazaman, komitmen dan ketabahan. Setiap usahawan perlu bersikap proaktif dalam mengambil peluang yang ada untuk melahirkan usahawan yang berjaya. Tun Musa Hitam, Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WiEF) berkata, individu yang meceburi bidang keusahawanan tidak harus ada perasaan putus asa dalam menghadapi segala rintangan dan halangan awal dalam perniagaan (Norutul Ilham, 2015).

Contoh usahawan proaktif ialah Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew, pengasas Boon Siew Honda. Boon Siew Honda merupakan sebuah syarikat Malaysia yang memasang, menjual dan mengedar model motosikal Honda di Malaysia. Langkah proaktif dapat dilihat apabila beliau berhubung terus dengan Honda Motor Japan Limited untuk mendapatkan hak menjadi pengedar tunggal di Malaysia. Beliau juga merupakan pengedar Honda yang pertama di Asia Tenggara (Honda, 2014). Beliau juga telah membina kilang motosikal di Mak Mandin, Butterworth, Penang. Dengan adanya kilang tersebut di Malaysia, kenaikan duti import dapat diminimakan kerana motosikal Honda dihasilkan secara domestik. Hasilnya, motosikal Honda berjaya terus diminati di Malaysia.

4.    Berorientasikan Pasukan (Team Oriented)

Usahawan yang berjaya menyedari bahawa mereka tidak dapat mengendali perniagaannya secara bersendirian. Mereka memberi tanggungjawab kepada pasukan pekerja bukan sahaja membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada kemahiran utama mereka tetapi juga akan meningkatkan kecekapan operasi mereka. Pasukan adalah sebuah kumpulan yang dianjurkan supaya bersama-sama atau menyertai untuk melakukan sesuatu bersama-sama. Dengan memulakan sebuah firma dalam satu kumpulan lebih banyak isu akan dikaji semula. Setiap orang mempunyai kemahiran sendiri oleh itu mereka akan dapat menunjukkan hasil masing-masing dengan lebih padu. Usahawan dapat menghadap ke maklumat yang mungkin penting bagi kejayaan. Dengan memulakan dalam satu kumpulan, banyak isu-isu yang boleh disemak, membolehkan ahli-ahli pasukan lain untuk menunjukkan isu-isu penting yang terlepas pandang oleh penggerak idea, kerana kumpulan yang menggabungkan kecekapan yang lebih banyak, membawa kepada sebuah firma keusahawanan yang lebih berjaya. Perkara yang paling penting adalah pasukan mesti terdiri daripada sekumpulan orang-orang yang berkongsi matlamat yang sama dan berani untuk mengambil risiko dengan bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat.
Usahawan yang berkumpulan menggabungkan kemahiran dan pengalaman ahli-ahli individu, mereka akan kurang bergantung kepada orang lain. Ciri-ciri yang perlu ada dalam  berorientasikan pasukan ialah seseorang mesti mempunyai kecenderungan dan keseronokan bekerja dalam kumpulan dan meletakkan kepentingan pasukan sebagai keutamaan dan bukannya kegiatan individu sendiri. Sebagai contoh, anda hanya tidak berfikir tentang diri sendiri tetapi termasuk keputusan yang lain. Setiap orang mempunyai satu faktor sumbangan dalam operasi dan keputusan yang memberi perhatian penuh dalam usaha.
Seseorang perlu bersikap positif dengan ahli kumpulan dan mengekalkan komunikasi dan minda yang terbuka apabila meminta maklum balas daripada pasukan. Seterusnya, kita juga harus menerima perkongsian tanggungjawab dan hak milik projek. Usahawan-usahawan membina kumpulan untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka. Mereka sedar bahawa ianya bukan mudah untuk membina sebuah firma sahaja dan bahawa mereka perlu untuk mengelilingi diri mereka dengan orang-orang yang berbakat serta mereka juga sedar bahawa boleh mendapatkan idea-idea baru dan bernas daripada ahli-ahli kumpulan yang lain. Contoh bidang yang menggunakan berorientasikan pasukan sebagai prinsip adalah kerja sosial, sukan dan perniagaan.

5.    Budaya Terbuka (Open Culture)

Budaya terbuka boleh dianggap sebagai satu konsep yang menerapkan pengetahuan harus diperluaskan secara bebas dan pertumbuhan mesti datang dari dunia membangun, berselang-seli atau memperkayakan kerja sedia ada atas dasar perkongsian dan kerjasama, tanpa terikat dengan peraturan-peraturan yang berhubungan dengan perlindungan undang-undang Harta Intelek. Dalam konteks globalisasi, hasilnya adalah bahawa semua rakyat harus mempunyai akses kepada maklumat yang sama.
Sebagai contoh, Chris Hirst merupakan salah seorang usahawan yang mengadaptasikan konsep budaya terbuka dalam arus perniagaannya. Beliau merupakan Ketua Eksekutif Agensi iklan London kelabu serta menunjukkan bagaimana agensi itu dibina satu budaya dengan satu falsafah "Terbuka" usahanya.

6.    Kegagalan Adalah Satu Pilihan (Failure is An Option)

Kegagalan bukanlah semestinya berunsur negatif. Perkara penting untuk mengatasi kegagalan adalah belajar daripada mereka yang menempuh kegagalan dan beralih kepada apa yang berlaku selepasnya tanpa mematahkan semangat pasukan anda. Secara amnya, apabila seseorang yang tidak berjaya berasa tidak bersedia atau takut, mereka menyangka bahawa ia adalah masa untuk berhenti, kelas-kelas rancangan mereka, mempersoalkan motif mereka atau menghabiskan lebih banyak masa persiapan dan perancangan. Dalam konteks ini, usahawan perlulah bersedia menerima kegagalan kerana kegagalan bukannya satu perkara yang merundum perniagaan mereka malahan ia merupakan satu pengajaran untuk terus berjaya dan berkekalan dalam perniagaan yang diuruskan itu. Oleh itu, kegagalan adalah satu pilihan yang memberi banyak lagi pengalaman kepada usahawan lama atau baru demi meneruskan jejak kegemilangan dalam perniagaan mereka.

7.    Menerima risiko dengan terbuka ( open risk taker )
Risiko adalah bahaya atau akibat yang akan terjadi dalam sesuatu proses yang sedang berlangsung atau kejadian yang akan datang. Menerima risiko dengan terbuka  pula bererti  seseorang itu  perlu bersedia untuk menerima apa jua  akibat atau bahaya dalam proses yang sedang mereka lakukan. Hal ini bermaksud, seseorang usahawan haruslah menerima risiko dengan terbuka supaya proses atau kerja yang sedang dilakukan tidak terhenti begitu sahaja. Sebagai contoh, usahawan yang mengamalkan ciri ini ialah Tony Fernandez iaitu seorang peneraju Air Asia. Syarikat Air Asia dahulu merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh DRB-Hicom iaitu sebuah konglomerat kerajaan Malaysia, telah mengalami kesulitan disebabkan tanggunggan hutang yang terlalu tinggi. Tan Sri Anthony Francis Fernandes telah mengambil risiko dengan membeli syarikat tersebut dengan harga satu ringgit dan mempunyai hutang dalam anggaran RM 40 juta dan hanya mempunyai dua kapal terbang terpakai Boeing 737-300 yang terbang hanya ke satu destinasi membawa 250,000 penumpang setahun dan mempunyai hanya 250 pekerja.

8.    Berwawasan ( Visionary )
Berwawasan ialah seseorang yang mempunyai misi dan visi tertentu untuk dicapai. Usahawan yang mempunyai ciri ini dapat melihat dengan jelas apa yang mereka inginkan dan seterusnya bertindak untuk mencapai misi dan visi tersebut. Dengan adanya wawasan atau hala tuju yang jelas, segala usaha yang diambil dapat disasarkan kearah pencapaian wawasan yang ditetapkan. Contoh usahawan yang berwawasan ialah Malcolm N.Bricklin iaitu usahawan yang terlibat dalam industri autumobil. Beliau mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam mereka bentuk, kejuruteraan, pembuatan, perkilangan semula, mengimport, mengedar dan kereta pemasaran. Beliau merupakan salah satu dari empat lelaki di Amerika Syarikat selepas perang dunia kedua untuk mereka bentuk, pembuatan dan menjual kereta sendiri. Tetapi beliau lebih mengeluarkan kereta sendiri. Beiau juga berwawasan apabila dapat mengesan trend masa depan sebelum orang lain.

9.    Tajam Penglihatan/Teliti ( Observant )
Tajam penglihatan atau teliti bermaksud seeseorang yang sentiasa  focus  dan memberi sepenuh terhatian  terhadap apa yang mereka lakukan. Sifat ini amat penting dalam diri seorang usahawan  agar segala tindakan yang diambil akan menghasilkan kualiti yang tinggi. Usahawan yang mempunyai sifat ini juga akan memastikan segala perancangan dan strategi  mereka dapat berjalan dengan lancar seiring dengan matlamat mereka. Contoh usahawan yang memiliki sifat ini ialah Dato’ Yusof Haslam atau nama sebenar beliau ialah  Mohd Yusof  Haslam.Beliau merupakan usahawan yang terkemuka di Malaysia selain terlibat dalam dunia perfileman. Beliau telah mengeluarkan filem komersial seperti Sembilu, Gerak Khas The Movie  dan banyak lagi telah membuktikan segala pengorbanannya sebagai penggiat seni perfileman sejak 1970-an mandapat penghargaan masyarakat dan media massa. Selain itu, beliau juga adalah seorang pengarah yang cukup prihatin dan teliti dengan masalah-masalah sosial dalam kalangan remaja dan juga masyarakat.

Dengan itu terbuktilah bahawa ciri yang diamalkan oleh Datuk Yusof Haslam telah membuahkan hasil dan menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya di Malaysia. Oleh itu, negara kita perlu berbangga dengan adanya usahawan seperti ini dan semoga akan lahir lagi ramai usahawan-usahawan yang berjaya pada masa akan datang.



5 comments: